Sunday 9 June 2013

Ku Nan wakil Malaysia ke pengebumian Taufiq Kiemas (gambar)

Taufiq Kiemas dikebumi di Makam Pahlawan Kalibata

JAKARTA 9 Jun - Ribuan orang daripada segenap lapisan masyarakat pada Ahad menghadiri upacara pengebumian negara untuk Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia Taufiq Kiemas di Taman Makam Pahlawan Kalibata, di Jakarta Selatan.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yuhoyono sendiri mengetuai upacara pemakaman negara untuk suami bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri itu, yang berlangsung penuh istiadat ketenteraan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung UMNO yang mewakili Kerajaan Malaysia, adalah antara perwakilan asing yang menghadiri upacara itu.

Upacara pengebumian dimulakan dengan perarakan jenazah ke dalam kawasan makam pahlawan sejurus tiba di situ pukul 11 pagi.

Dalam ucapannya pada upacara itu, Susilo yang menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga Allahyarham Taufiq, berkata Indonesia kehilangan "salah seorang putera terbaik bangsa, ahli politik terkemuka, tokoh penegak demokrasi, konsiliator dan seorang negarawan.

"Dengan jujur dan hati yang bersih, harus kita akui bahawa Allahyarham telah memberikan begitu banyak kepada bangsa dan negara," katanya.

Abu Zahar berkata, beliau bagi pihak Malaysia menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Taufiq atas kepulangan ke rahmatullah tokoh politik dan negarawan Indonesia itu.

"Allahyarham Taufiq Kiemas ialah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan seorang yang sentiasa ingin menjalinkan hubungan baik negara bangsa serumpun Malaysia dan Indonesia, yang telahpun terjalin begitu lama.

"Kita mendoakan semoga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat Allah dan berharap keluarganya menerima ketentuan tuhan ini dengan penuh tabah," katanya.

Tengku Adnan pula berkata, beliau telah diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mewakili BN dan UMNO.

UMNO, katanya mempunyai hubungan yang rapat dengan Taufiq yang sering berperanan sebagai jambatan penghubung antara Malaysia dan Indonesia.

"Saya telah menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri kepada Ibu Megawati dan keluarga serta salam takziah daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Megawati dan keluarga.

"Kita rasa satu kehilangan. Kita berharap hubungan parti di antara PDIP dan UMNO akan terus kekal. Kita mendoakan Allahyarham dicucuri rahmah oleh Allah," katanya.

Taufiq, 70, meninggal dunia di Singapore General Hospital, Singapura malam tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham dirawat di hospital itu selepas mengadu tidak sihat sejurus selesai menghadiri majlis peringatan kelahiran Pancasila di Ende, Nusa Tenggara Timur pada 1 Jun lepas. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_15/Taufiq-Kiemas-dikebumi-di-Makam-Pahlawan Kalibata#ixzz2ViZ97b7c

0 comments:

Post a Comment