Thursday, 4 April 2013

Kajian Terbaru Tunjuk Sokongan Rakyat Terhadap BN Meningkat 62 Peratus

KUALA LUMPUR, 4 April – Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat semakin meningkat berdasarkan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar transformasi politik dan pentadbiran kerajaan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang empat tahun memegang jawatan Perdana Menteri.

Menurut pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Samsul Adabi, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Majlis Professor Negara, sokongan rakyat terhadap BN hari ini sudah meningkat lebih daripada 62 peratus.

“Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Pilihanraya dan Demokrasi Universiti Malaya dan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, peratusan sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dari masa ke sama dan peratusan terbarunya mencecah 62 peratus.

“Berdasarkan kajian ini, ia memberikan mesej yang cukup jelas dan saya berkeyakinan peluang BN untuk menang dengan tahap selesa amat cerah,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau, ini berikutan kejayaan gagasan 1 Malaysia serta dasar transformasi politik dan kerajaan yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang dilihat sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat secara berterusan.

“Sebagai contoh gagasan 1 Malaysia beserta program-program yang memberikan bantuan secara langsung kepada rakyat akar umbi telah banyak membantu menguatkan sokongan rakyat terhadap BN,” ujarnya.

Selain daripada faktor tersebut, isu-isu yang ditimbulkan oleh Pakatan Pembangkang juga dilihat sebagai salah satu sebab mengapa sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat.

“Isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang hanyalah isu-isu sampingan dan bukan isu yang menyentuh induk pemerintahan. Contohnya isu rasuah, ia hanya melibatkan sesetengah individu tertentu dan bukannya pada pemerintahan pusat.

“Apatah lagi apabila pembangkang membuat kenyataan tentang isu Lahad Datu itu satu sandiwara yang ternyata bertentangan dengan pemikiran rasional rakyat. Begitu juga dengan manifesto Pakatan Pembangkang yang dilihat tidak bersifat realistik,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat dinegara ini agar memilih kerajaan berdasarkan pemikiran yang rasional serta melihat kepada rekod kerajaan yang sudah terbukti mampu untuk mentadbir negara.

“Bagi saya, jangan kita gadaikan masa depan dengan memilih sesuatu yang masih belum pasti serta tidak pernah mempunyai rekod dan pengalaman dalam pentadbiran sesebuah negara. Pilihlah kerajaan yang stabil demi masa depan diri sendiri, keluarga dan anak cucu pada masa yang akan datang,” jelasnya. -MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive