Tuesday, 11 June 2013

BN Failkan 21 Petisyen Pilihan Raya Hari Ini

Oleh : Ropikah Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Barisan Nasional (BN) memfailkan 21 petisyen pilihan raya di mahkamah hari ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ujarnya, walaupun pada mulanya BN merancang untuk memfailkan 50 petisyen tetapi setelah mengambil kira pelbagai faktor maka ia dikurangkan. “Setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk bagi tujuan menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak munasabah, dan setelah mempertimbangkan nasihat yang diberikan oleh pasukan petugas undang-undang maka BN memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen pilihan raya,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

 
Jelasnya, BN tidak mahu membangkitkan isu-isu remeh semata-mata di mahkamah kelak.
“21 Petisyen yang difailkan ini insya-Allah mempunyai asas yang kami percaya adalah kukuh dan mempunyai merit yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Kami berharap dan percaya bahawa perkara-perkara ini juga dipertimbangkan oleh pihak pembangkang di dalam memfailkan petisyen pilihan raya mereka, dan kami harap isu-isu remeh semata-mata tidak dibangkitkan di mahkamah,” katanya. Walauapapun, tegasnya, beliau percaya benteng kerajaan yang dipimpin oleh parti BN akan kekal dan akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Antara asas-asas petisyen pilihan raya difailkan oleh BN adalah berkenaan dengan perbuatan rasuah oleh calon-calon pembangkang sama ada oleh dirinya atau wakil calon itu sendiri, taktik intimidasi dan menakut-nakutkan pengundi oleh pembangkang, ketidakpatuhan undang-undang oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses undi ditolak terutamanya yang melibatkan dakwat kekal dan kelayakan calon bertanding yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tempoh 21 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diwartakan akan berakhir pada Rabu ini. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment