Saturday, 11 May 2013

Anwar Kecewa PAS & DAP Enggan Pulau Angkat Sumpah MB & KM

Kegagalan pakatan pembangkang mengalahkan BN dalam PRU-13 diakui oleh ramai pemimpin PR sebagai satu detik yang agak mengecewakan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim setelah sekian lama bertungkus lumus dan bermati-matian mahu mengejar puncak kuasa di Putrajaya.

Anwar sedar, kegagalan PR kali ini bermakna berakhirlah riwayat politiknya apatah lagi sebelum ini Ketua Umum PKR itu pernah berikrar akan berhenti dari politik sekiranya tewas dalam PRU-13 dan menumpukan tugasannya menjadi Pensyarah di Universiti luar negara.

Sekarang PR bukan sahaja telah tewas malah gagal mengekalkan pemerintahan PAS di Kedah manakala majoriti kemenangan Anwar di Parlimen Permatang Pauh juga merosot. Sedangkan di masa yang sama UMNO selaku komponen utama BN yang merupakan musuh ketat Anwar pula terus gah.

Dek kerana kecewa itulah Anwar bertindak di luar batasan dengan menghasut penyokong PR untuk memulau keputusan PRU-13 dan cuba membangkitkan kemarahan umum melalui perhimpunan protes yang diadakan di Stadium MBSJ, Kelana Jaya baru-baru ini.

Jika tidak kerana ramai pengundi Melayu Islam dan Bumiputera yang lain bersama sebahagian pengundi keturunan India memihak kepada BN, barangkali hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Ke-7 sudah tercapai, namun takdir Illahi menetapkan jawatan tersebut bukan hak miliknya.

Tambah mengecewakan Anwar bila mana gerakannya memprotes keputusan PRU-13 bagaikan disabotaj rakan sepakatan apabila DAP dan PAS yang mengekalkan pemerintahan masing-masing di Kelantan dan Pulau Pinang enggan memulaukan majlis angkat sumpah bagi jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Ahmad Yaakob, MB Kelantan yang baru mengangkat sumpah untuk jawatan itu sehari selepas PRU-13 selesai bagi menggantikan Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengangkat sumpah memegang jawatan Ketua Menteri pada 7 Mei 2013 untuk penggal kedua.

Tindakan kedua-dua rakan PKR dalam PR itu jelas membuktikan pengiktirafan mereka terhadap ketelusan proses pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR sekali gus menolak tohmahan Anwar dan gerombolan pengikutnya yang mendakwa PRU-13 dicemari penipuan dan penyelewengan.

Seandaianya benar wujud penipuan atau ketidaktelusan berlaku dalam PRU-13, bermakna bolehlah diandaikan PAS dan DAP telah bersekongkol dengan BN untuk menghalalkan penipuan yang didakwa Anwar, bukan begitu?

Hakikatnya, samada penipuan, penyelewengan atau ketidaktelusan langsung tidak wujud, melainkan apa yang sibuk diperkatakan Anwar dan kumpulannya tika ini hanyalah luahan kekecewaan gara-gara cita-cita peribadi menuju puncak Putrajaya tidak kesampaian.

No comments:

Post a Comment