Saturday, 21 December 2013

KALAU HARGA TANAH LAGI MAHAL DARIPADA WANITA APA MASALAH DENGAN MENTERI AYAM?

Kunan singgah di KLCC  & meluangkan masa bersama pemandu teksi.

Kerana disebabkan seorang dua saja Menteri yang buat ucapan kurang cerdik, akhirnya yang lain pun turut diperhatikan sehingga ucapan yang pada dasarnya bersifat biasa pun akan menjadi luar biasa. 
Mungkin situasi itu jugalah yang menimpa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina wanita Malaysia apabila menyatakan bahawa 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek dan jika tidak memakai alat solek harganya menurun' ketika menjelaskan mengenai kadar cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur.

Berikutan kenyataannnya itu, bekas Ketua Wanita MCA, Yu Chok Tow menggesa Tengku Adnan meminta maaf dan mendakwa kenyataan tersebut mempunyai maksud mendalam serta memperkecilkan-kecilkan wanita. Harga diri seorang wanita itu letaknya pada kemahiran, keperibadian dan pemikirannya dan bukannya pada alat solek.

Bagaimanapun Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno hari ini tampil memohon maaf dan menjelaskan “Seperti wanita yang tiada alat solek, tidaklah memaksudkan mereka itu seperti hartanah, saya tidak pernah menyamakan wanita dengan hartanah. Apa saya maksudkan orang tidak faham iaitu kalau anda buat rumah cantik, seperti wanita juga, kalau mahu cantik pakai 'makeup'," katanya lagi.

"..Sebab itu jika wanita tersinggung, saya minta maaf dan saya memang tidak bermaksud, ada beberapa wartawan yang menyalahtafsirkan kenyataan saya itu walhal saya memaksudkan dalam makna yang lain.

Itulah bahananya bila ada beberapa Menteri Ayam yang dilantik hasil berkat mencium tangan, kenyataan 'ayam' yang asalnya dikeluarkan oleh Menteri Ayam menyebabkan kenyataan yang dibuat oleh semua Menteri menjadi tumpuan, sehingga kenyataan biasa pun ditafsirkan 'ayam'.

Dalam isu seperti ini Menteri tidak seharusnya menyalahkan wartawan, sebaliknya melihat kembali kepada perlantikan Menteri dikalangan yang tidak layak sehingga status jawatan Menteri itu sendiri tercemar atau tidak lagi dihormati serta dipandang rendah oleh rakyat.

Hal ini berlaku secara semulajadi ekoran terkesan dengan penularan virus 'ayam', biarpun berstatus Menteri, tapi asal saja kenyataan itu timbul masyarakat akan terus menerima dan mempercayainya. Tidak ada lagi istilah seperti 'ya ke ?', tak mungkin!', salah faham kot!', saya tak percaya kalau tak dengar sendiri!' dsbnya.

Sedangkan kalau dilihat dari kenyataan Tengku Adnan dan respon bekas Ketua Wanita MCA, sudut pandangnya jauh berbeza, Tengku Adnan bukan bercakap dalam konteks harga diri wanita, beliau cuma ingin memberi contoh supaya isu sebenar (cukai) yang sedang beliau jelaskan itu mudah untuk difahami, tak timbul soal harga diri wanita itu letaknya pada kemahiran berbagai, kerana itu semua orang tahu, tapi takkanlah beliau sedang bercakap isu cukai kemudian nak jelaskan pasal harga diri wanita dengan panjang lebar lebih pada isu cukai pulak ?

Agak-agaklah, kalau tak pakai alat solek, ada ke individu atau syarikat nak taja majlis perkahwinan Rozita Che Wan sampai RM 13 juta ? Jadi, selain kemahiran, keperibadian dan pemikiran, alat solek juga merupakan aset penting kepada wanita yang tak boleh dinafikan, tidak kira siapa pun wanita itu, jika berpenampilan menarik, pandai bergaya, mengancam dan ada umphhh! Ia pasti mempunyai harga dirinya yang tersendiri mengikut citarasa masing-masing, kerana sudah menjadi lumrah manusia yang sukakan kepada semua perkara yang cantik.

Sumber : gelombangkick.blogspot.com

Thursday, 19 December 2013

KEPUTUSAN KENAIKAN CUKAI PINTU: KENYATAAN PENUH MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN


PEJABAT YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Blok 2, Menara Seri Wilayah, Presint 2, 62100 Putrajaya
Tel: 03-8889 7888  Faks: 03-8889 7957
Laman web: www.kwp.gov.my 
CUKAI TAKSIRAN DBKL

1.             DBKL telah pun menghantar  Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian kepada pemilik-pemilik hartanah di Kuala Lumpur. Notis ini bertujuan memaklumkan cadangan Nilai Tahunan hartanah pemilik untuk dikuatkuasa mulai 1 Januari 2014.
2.          Secara  mudahnya, tafsiran nilaian tahunan dijelaskan seperti berikut:

a.          Bagi tanah yang telah dibina bangunan, Nilai Tahunan bermaksud anggaran sewa kasar setahun yang dijangka munasabah diperolehi daripada bangunan berkenaan. Sebagai contoh, jika bangunan tersebut ditaksir memperoleh sewa RM1,000 sebulan, maka Nilai Tahunannya RM 12,000.

b.             Bagi tanah yang masih kosong, Nilai Tahunan adalah 10% daripada Nilai PasaranTanah. Sebagai contoh jika nilai pasaran tanah RM500,000, maka Nilai Tahunannya RM50,000.

3.               Nilai Tahunan bukanlah cukai taksiran yang perlu dibayar. Cukai taksiran hanyalah beberapa peratus dari Nilai Tahunan.
 Contoh bayaran cukai taksiran adalah seperti berikut :-
JENIS HARTA
NILAI TAHUNAN (RM)
PERATUS KADAR (%)
JUMLAH CUKAI TAKSIRAN (RM)
Rumah Teres
12,000
6
720
Tanah Kosong
50,000
6
3,000

4.              Walaupun saya bersetuju supaya DBKL melaksanakan Penilaian Semula kepada hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi saya telah meminta supaya Penilaian Semula tersebut hendaklah tidak mengakibatkan kenaikan yang terlalu tinggi ke atas jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik harta sehingga membebankan mereka. Oleh itu, atas keperihatinan tersebut dan selepas membaca sebahagian dari bantahan yang telah diterima, saya dengan ini ingin mengumumkan perkara-perkara berikut untuk Cukai Taksiran tahun 2014:-
PERTAMA
Kadar peratusan yang digunakan untuk mengira jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar
DIKURANGKAN seperti berikut:

JENIS HARTA
DALAM 36 BATU PERSEGI
LUAR 36 BATU PERSEGI
2013
2014
2013
2014

Perdagangan

12%

10%

10%

8%

Pangsapuri Servis

10%

7%

8%

5%

Kediaman

6%

4%

6%

4%
Rumah Pangsa Kos Rendah

6%

2%

6%

2%
Tanah kosong perdagangan

10%

7%

6%

5%

Tanah kosong kediaman

7%

5%

6%

5%

Kampung Baru, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Melayu Segambut Dalam



2%



1%



2%



1%
Lain-lain Kampung              Bangunan
Tanah Kosong


3%
2%


2%
1%


3%
2%


2%
1%

KEDUA
Insentif dalam bentuk pengurangan kepada jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar akan diberi kepada:
 i.        Pemilik harta yang terdiri dari Orang Kurang Upaya (OKU).
 ii.        Pemilik harta yang merupakan Pesara.
 iii.        Pemilik harta yang mendiami sendiri kediaman mereka (tidak menyewakan).
Pemilik-pemilik harta yang dalam kategori di atas bolehlah mengisi borang permohonan yang boleh didapati dari kaunter-kaunter pembayaran DBKL dan mengembalikan kepada DBKL bersama dengan dokumen bukti yang berkaitan.
KETIGA
Kenaikan jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik rumah kos rendah dan kos sederhana rendah hendaklah pada paras yang paling minima, manakala untuk rumah kos tinggi hendaklah tidak melebihi 10% dan bangunan komersil tidak melebihi 35% dari jumlah cukai taksiran yang dibayar sekarang.
KEEMPAT
Sementara Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai Pintu mendengar semua bantahan, pemilik harta dibenarkan menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama pada Januari 2014 berasaskan kepada jumlah cukai taksiran semasa yang dikenakan pada tahun 2013 (Jumlah Lama). Pelarasan akan dibuat dalam bil cukai taksiran penggal kedua Julai 2014.
5.              Tanpa mengambil kira perkara-perkara diatas, pemilik harta yang telah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada DBKL sebelum atau pada 17 Disember 2013,  akan tetap dipanggil ke sesi pendengaran bantahan yang akan dimulakan pada 6 Januari 2014 sehingga 31 Mac 2014. Jika pemilik dapat membuktikan bahawa, Nilai Tahunan yang dicadangkan oleh DBKL terhadap harta mereka adalah tinggi, Jawatankuasa Pendengaran Bantahan boleh mengurangkan lagi Nilai Tahunan tersebut. Ini akanmengurangkan lagi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik.

6.              Saya berharap, keputusan saya ini akan dapat meredakan kegusaran pemilik harta sekelian dan saya juga akan memastikan DBKL mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan mereka dan memperbanyakkan lagi penyediaan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan warga kota semua.
SEKIAN.
Disediakan oleh:
PEJABAT YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Kementerian Wilayah Persekutuan  

19 Disember 2013
PUTRAJAYA

Saturday, 14 December 2013

Kunan buat lawatan mengejut ke Jalan TAR

Hari minggu seperti ini tidak dilepaskan oleh kunan untuk turun ke bawah melihat bagaimana tapak perniagaan di Jalan TAR diselia oleh persatuan.

Sejurus beliau selesai merasmikan Restoran Thalappakatti di Semua House, kunan turun melawat tapak dan bermesra bersama peniaga. Ramai yang terkejut dengan kehadiran kunan yang tidak dijangka.

Kunan turut melakukan pemeriksaan tapak dan lesen serta meluangkan masa berbual bersama pengunjung yang hadir.

Bak kata kunan, sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai seorang Menteri tidak kira masa dan waktu mesti melaksanakan amanah yang diberi rakyat.

Hujung minggu seperti ini bila kunan buat pemeriksaan mengejut seronok juga, kelam kabut dibuatnya persatuan penjaja tadi. Tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan berdasarkan laporan yang dinilai memang kunan berpuas hati.

Friday, 29 November 2013

Mesyuarat Kali Pertama Ketua UMNO Bahagian Putrajaya bersama AJK baharu.

Mesyuarat pertama Ketua UMNO Bahagian Putrajaya bersama barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya yang baru berlangsung di aras 4 Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan dipengerusikan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mesyuarat pertama ini lebih berkisar kepada perlantikan Ahli Jawatankuasa baru yang diumumkan oleh Kunan selain membincangkan kaedah yang terbaik dalam memperkasakan parti UMNO dan Barisan Nasional bagi menghadapi PRU 14 akan datang dan sekaligus mempertahankan Putrajaya untuk kekal bersama Barisan Nasional.

Dalam pada itu, seramai 9 orang Ahli Jawatankuasa lantikan diberi ruang dalam jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya antaranya

1) Datuk Ahmad Zaki bin Zahid -Bendahari
2) Haji Roslan bin Abu Hanif -Ketua Penerangan
3) Mohd Rahimi Rejab
4) Mohd Hisamuddin Yahaya
5) Tun Faisal Ismail Aziz
6) Nasru Syazwan Nawai
7) Isma Laili
8) Husna Abdul Rahaman
9) Zarina Ismail

Kesemua 25 AJK termasuk 7 yang dilantik belum lagi diberi sebarang portfolio selain daripada 2 orang pegawai kanan yang masing-masing dilantik sebagai Bendahari dan Ketua Penerangan. Semoga mesyuarat pertama ini serta barisan Ahli Jawatankuasa yang baru dipilih dan dilantik ini dapat membantu parti UMNO Bahagian Putrajaya dalam usaha memperkasakan parti dan seterusnya mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di PRU ke-14 akan datang.

Tuesday, 12 November 2013

Misi Kemanusiaan UMNO Putrajaya ke Kemboja

Detik 7hb November menjadi saksi rombongan 51 orang ahli UMNO Putrajaya yang terdiri daripada Ketua Pemuda UMNO Cawangan dan beberapa orang Ketua Cawangan yang dipilih mewakili Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke Kemboja. Misi yang diketuai oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya iaitu Saudara Ahmad Faisal Abdul Karim meniti sebuah perjalanan yang sangat menyentuh hati.

Rombongan yang terbang ke Kemboja ini membawa matlamat penting dalam misi membantu umat Islam di sana. Jika hendak dikongsikan pengalaman penulis sama sekali berbeza dengan realiti sebenar. Tetapi moral yang penulis belajar adalah tahap kesabaran serta kesungguhan ummat Islam di Kemboja dan bertapa bersyukur nya penulis pada nikmat Allah SWT yang tidak terhingga.

Dua buah kampung Islam yang penulis bersama rombongan pergi adalah ke Kampung Chyar Chewar dan kampung Luong Commune. Ini antara perkampungan Islam dan ada lagi perkampungan kecil Islam yang lain, disebabkan kumpulan Islam di sini adalah minoriti jadi mereka hidup dalam keadaan yang sangat daif dan berpecah belah tetapi penulis yakin melihatkan suasana dan fasiliti yang ada di sini, mereka ketinggalan jauh berpuluh tahun berbanding negara kita Malaysia. Agama rasmi di Kemboja adalah Buddha tetapi semua agama bebas melakukan dan mengamalkan upacara keagamaan masing-masing, dan ini satu perkara yang penulis sanjung dengan budaya dan saling hormat menghormati sesama mereka.

Lokasi pertama yang penulis bersama rombongan pergi adalah ke Madrasah Al-Iman di Kampung Chyar Chewar Phonm Penh. Untuk makluman, Madrasah ini adalah pusat utama pengumpulan ketua-ketua madrasah seluruh Kemboja. Walaubagaimanapun, pusat utama ini tidak sedikit pun mencerminkan keadaannya yang sebenar. Tapak madrasah ini dikongsi bersama dengan sebuah Masjid yang bersebelahan dengan pusat pengajian ini, alangkah sedihnya melihat keadaan pelajar tahfiz yang belajar dalam suasana serba kerkurangan tetapi hanya berbekalkan semangat dan iktizam untuk menuntut ilmu akhirat menjadi bekalan mereka.


Penulis sempat berbual dengan salah seorang pelajar tahfiz yang berasal dari negeri Kelantan, beliau dihantar oleh bapanya ke sini, dan sudah lebih setahun beliau di Kemboja. Adik Ishak merupakan salah seorang daripada 250 pelajar tahfiz. Melihatkan semangat adik Ishak ini terdetik di hati penulis bagaimana adik ini mampu berdikari dan tinggal jauh beribu batu dari keluarga tersayang. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan madrasah di Malaysia, lengkap dengan sumber air bersih, hostel dan sekurang-kurangnya dapat tidur di atas tilam, tetapi di sini mereka tidur beramai-ramai di kawasan lapang dan tempat itu jugalah yang dijadikan kelas pengajian mereka.

Penulis serta rombongan meluangkan masa lebih 2 jam di Madrasah ini, menurut seorang Ustaz yang juga tenaga pengajar di Madrasah Al Iman beliau memberitahu kesemua pelajar yang menamatkan pengajian di sini akan dihantar ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak hairanlah sumber buku banyak yang datang dari Malaysia, ada juga diantara mereka yang sekarang diperingkat terakhir untuk dihantar ke Malaysia dan sangat fasih berbahasa Melayu. Sebelum pulang, Datuk Nordin Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya mewakili semua menyampaikan sedikit ucapan dan sumbangan berbentuk sejadah, Al Quran dan telekung kepada masjid dan madrasah. Dalam pada itu, sumbangan wang tunai hasil kutipan derma ikhlas daripada peserta rombongan turut diberikan sebagai membantu meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mereka.

Peserta rombongan bergambar kenangan bersama tenaga pengajar di Madrasah Al Iman
Rombongan turut ke sebuah lagi kampung di bahagian pedalaman Phom Penh iaitu kampung Luong Commune, di sini kami dibawa melawat ke Masjid Nourussalam yang menjadi pusat pengumpulan komuniti Islam di sini. Kami melawat dan mendalami kehidupan masyarakat Islam Kemboja dengan lebih dekat lagi. Melihatkan rumah mereka dan fasiliti seharian penulis tidak dapat membayangkan bagaimana mereka mampu untuk berdikari dengan keadaan rumah yang sempit, mandi hanya di sungai dan kanak-kanak tidak mendapat pendidikan yang mencukupi. Begitu bersyukur penulis dengan kehidupan di Malaysia bagaimana ummat Islam di sini yang dapat menjalankan ibadat dan hidup dengan aman. Melayan karenah kanak-kanak ini, penulis serta merta membayangkan keriangan kanak-kanak Malaysia yang jauh sekali nak disamakan dengan mereka di sini.

Sama seperti di Madrasah Al Iman, kali ini Saudara Ahmad Faisal Abdul Karim Ketua Pemuda UMNO Putrajaya mewakili rombongan menyampaikan sedikit bantuan wang tunai dan barangan kelengkapan masjid seperti sejadah dan telekung serta naskah Al Quran untuk kegunaan Masjid Nourussalam. Walaupun dengan bantuan yang tidak seberapa ini, tetapi melihat riak wajah mereka begitu terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diterima. Mungkin bantuan ini tidaklah sehebat mana, tetapi nilai yang diberikan In Shaa Allah membantu memberikan semangat dan mengukir detik indah kami di sini.

Kegembiraan terpancar apabila melihat wajah anak-anak ini ketika Saudara Ketua Pemuda Ahmad Faisal Abdul Karim yang membelikan aiskrim untuk kanak-kanak ini
Bergambar sebelum pulang bersama masyarakat Islam di Kampung Luong Commune

Nyata pengalaman yang singkat ini memberi sejuta erti buat semua peserta rombongan kemanusiaan ke Kemboja, sedikti sebanyak penulis belajar tentang erti sebenar kehidupan dan mensyukuri nikmat Allah SWT di bumi bertuah Malaysia ini. Selama penulis di Kemboja, azan berkumandang sama seperti di Malaysia. Lihat, walaupun Islam bukan agama rasmi tetapi penganut lain tidak langsung mempertikaikan soal azan ataupun soal penyembelihan ketika raya korban. Perbezaaan agama tidak menjadikan mereka berpecah belah malah tetap bersatu dan membentuk negara yang berjaya. Tidak langsung kedengaran pergaduhan konflik agama atau pergaduhan sesama saudara di sini. Mungkin kematangan masyarakat Kemboja yang rakyat Malaysia harus contohi. Biar fasiliti kelas rendah, tetapi jangan mentaliti rakyatnya yang rendah.

Timbalan Menteri Sengaja Bakar Sentimen Agama?


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, hari ini menyelar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai tidak berhak mencampuri urusan Hindu.

Menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia, P Waythamoorthy, menyatakan Tengku Adnan tiada hak menyatakan apa yang tempat suci dan apa yang kuil. (“no business in interpreting what amounts to a shrine or temple”).

“Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau sepatutnya menghormati perasaan dan sensitiviti penganut Hindu, bukannya mempertahankan tindakan tidak bertanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.” ["As a federal minister he should respect the feelings and sensitivities of Hindus, instead of justifying an unconscionable act by the Kuala Lumpur City Hall (DBKL)."]

Keputusan merobohkan ini merupakan arahan Mahkamah dan perlu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sekira Tengku Adnan tidak berhak mempertahankan para pegawai DBKL yang menjalankan tugas dan arahan Mahkamah, siapakah yang layak?




Ini bukan isu agama Hindu. Ini isu undang-undang. Jika Waytamoorthy sebagai Timbalan Menteri tidak boleh menghormati undang-undang, apakah rakyat Malaysia perlu patuh kepada undang-undang?

Kuil tidak diruntuhkan. Sepatutnya sebagai Timbalan Menteri dan Pengerusi Hindraf, Waythamoorthy menggunakan kedudukannya untuk menyelesaikan masalah, bukannya membakar sentimen keagamaan.


Ini merupakan kali ketiga Waythamoorthy menghina Mahkamah dan pihak berkuasa. Sebelum ini beliau mempertikaikan tindakan Mahkamah kerana tidak membebaskan abangnya. 

Sumber: mykmu.net

Lihat video kenyataan Ku Nan berkenaan isu kuil. Klik sini http://youtu.be/Grwbankq0z8




Monday, 7 October 2013

PANAS!!! NGO serta Pemimpin Masyarakat Komuniti Putrajaya Buat Laporan Polis Terhadap Tony Pua

"Tony Pua pengkhianat! Beliau harus memohon maaf, orang macam Tony harus dikenakan tindakan dibawah akta hasutan" Itulah antara kata-kata yang dilontarkan kepada Ketua Publisiti DAP Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara kerana kebiadapan beliau yang menggelar ROS sebagai anjing UMNO.

Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau seharusnya bersikap professional. Beliau sendiri seharusnya tahu tentang peranan ROS yang bertindak sebagai sebuah badan kerajaan yang hanya melaksanakan tugas dan penyiasatan. Itupun setelah laporan dibuat oleh ahli parti DAP sendiri berkenaan dengan Isu Pemilihan CEC yang lepas. UMNO juga suatu ketika dahulu pernah diharamkan, tetapi bersikap terbuka dan mencari jalan penyelesaian dan tidak pernah langsung mengaitkan keputusan Mahkamah dengan pengaruh mana-mana pihak.



Kira-kira jam 2 petang tadi, lebih daripada 20 orang wakil dari UMNO Cawangan Putrajaya serta Pemimpin NGO hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya Presint 7 untuk membuat laporan Polis dan mengutuk kenyataan Tony Pua yang mencemarkan maruah parti UMNO. Antara NGO yang terlibat termasuklah Kelab Belia Komuniti Putrajaya (KBKP), KEMAS dan pemimpin masyarakat di Putrajaya. 

"Beliau seharusnya dikenakan tindakan keras kerana jika tidak beliau akan lebih biadap dan tidak menghormati orang melayu, parti UMNO adalah parti yang manjoritinya mewakili orang Melayu, dengan kenyataan biadap beliau seperti itu seolah menyamakan orang Melayu dengan anjing" kata salah seorang aktivis belia.



Tony Pua cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada pemilihan CEC yang tercalit dengan pelbagai isu. Sudah menjadi kebiasaaan bagi DAP untuk menyalahkan UMNO dalam pelbagai perkara. Tak pelik jika pokok bergoyang pun mereka akan salahkan UMNO. Sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh ramai peguam, DAP seharusnya lebih arif berkenaan undang-undang tetapi mereka sebaliknya dengan mengambil jalan mudah menyalahkan orang lain.